~~::Sahabat Nasihat::~~

..::Muhasabah Diri::..

  • ::Mutiara kata::

    ~~Menangisi perpisahan akibat gagal bercinta adalah satu pembaziran mutiara jernih kita dan juga menguji sejauh mana kebodohan kita tetapi dengan menangisi dan menyesali akan dosa kita lantas meminta pengampunan dariNya akan lebih menjamin dunia dan akhirat~~
  • Kategori

  • Tag

  • Top Clicks

    • None
  • Calendar

    July 2008
    S M T W T F S
    « Jun    
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  
  • Archives

Surah an-Nur perjelas hidup bermasyarakat

Posted by Admin on June 10, 2008

Oleh Prof Madya Maznah Daud

SURAH an-Nuur yang bererti cahaya, mengandungi 64 ayat, diturunkan di Madinah beberapa tahun selepas hijrah. Dalam surah ini terkandung ayat dan petunjuk Allah bagi manusia yang berhubung dengan hidup bermasyarakat, mahu pun berumah tangga. Semuanya, adalah cahaya yang menyinari kehidupan manusia dalam menempuh jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.

Allah memulakan surah ini dengan satu penegasan agak unik dan berbeza dengan surah lain. Firman-Nya bermaksud: “(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami fardukan (menjalankan hukum yang ada dalam)nya, dan Kami turunkan dalamnya ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.” (Surah an-Nur, ayat 1)

Secara jelas dan tegas apa yang terkandung dalam surah ini diturunkan oleh Allah dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang beriman kepadaNya dan ayatNya, supaya menerima dan melaksanakannya tanpa ragu-ragu atau berdolak dalik.

Penegasan seperti ini sangat penting. Ia adalah asas kukuh dalam hati setiap Muslim agar bersedia mendengar, menerima dan seterusnya melaksanakan apa saja yang tuntut oleh-Nya. Meragui dan mempersoalkan hukum atau peraturan Allah tidak wujud sama sekali dalam hati orang beriman. Ini sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jawapan orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah an-Nuur, ayat 51)

Masyarakat adalah himpunan manusia daripada lelaki dan wanita. Mereka bukan saja saling memerlukan, malah difitrahkan mempunyai keinginan yang kuat terhadap satu sama lain. Bagi memenuhi keinginan semula jadi ini, Allah mensyariatkan perkahwinan dan menggesa pihak berkuasa dalam sesebuah masyarakat atau keluarga memberikan perhatian sewajarnya terhadap anggota yang belum berkahwin.

Firman Allah bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32)

Perkahwinan adalah satu-satunya jalan paling selamat dan terhormat bagi memenuhi keinginan semula jadi manusia. Keinginan seksual adalah wasilah atau jalan yang menghubungkan antara satu generasi dengan generasi sebelum dan selepasnya. Lantaran, ia tidak boleh dipadam atau diketepikan. Keinginan itu tidak boleh pula dibiar lepas bebas tanpa batasan. Ini kerana keadaan sedemikian bukan saja akan menjatuhkan martabat insan, malah boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Ayat di atas ditujukan kepada ketua keluarga serta pihak yang berkuasa dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak sepatutnya mengabaikan anggota yang belum mempunyai pasangan hidup yang sah. Kemiskinan bukan suatu alasan untuk melambat-lambatkan urusan perkahwinan. Jalan mesti dicari. Penyelesaian mesti diusahakan. Allah sendiri memberi jaminan akan memudahkan rezeki orang yang ingin berkahwin (Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya).

Hubungan antara lelaki dengan perempuan yang lain daripada ikatan perkahwinan dibataskan dengan adab serta panduan tertentu. Ini supaya keutuhan keluarga yang dibina terpelihara, terselamat daripada fitnah dan noda serta terhindar daripada jerangkap syaitan durjana.

“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nur, ayat 30)

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31)

Lelaki dan wanita tidak dihalang daripada membabitkan diri dalam masyarakat. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang bertanggungjawab membangun, memaju dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menjejaskan kesejahteraannya. Apa yang wajib dilakukan ialah memelihara tiga perkara iaitu menjaga mata, kemaluan dan aurat.

Hari ini, kesedaran memakai tudung di kalangan Muslimah laksana gelombang besar yang tidak mampu dibendung oleh sesiapa lagi. Memakai tudung saja tidak memadai. Mata hendaklah sentiasa dijaga kerana ia adalah penggoda yang amat berbisa. Apabila mata bertentang mata, hati mula berkata-kata, nafsu pun ikut bergelora, lantas iman terluntur dan iblis segera menjalankan peranan.

Tidak cukup juga dengan kaum wanita saja yang bertudung litup, menutup aurat dan menjaga maruah. Kaum lelaki juga seharusnya melakukan perkara sama. Kaum lelaki wajib juga mematuhi adab menundukkan pandangan dan kewajipan memelihara tiga perkara tadi. Ayat itu tidak hanya ditujukan kepada wanita, bahkan menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita.

Kadang-kadang terdengar suara mengatakan menutup aurat juga tidak selamat. Mungkin ada benarnya luahan itu. Ini kerana menutup aurat mesti dilaksanakan secara bersepadu dengan memelihara pandangan serta aturan lain yang terkandung dalam surah ini. Ia tidak boleh diambil secara terpisah.

Perkara lain yang wajib dijauhi ialah memfitnah dan menyebarkan keburukan serta kemungkaran. Firman Allah bermaksdu: “Dan orang yang menuduh wanita yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Tidak dapat dinafikan bahawa fitnah atau tuduhan tanpa bukti meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri seseorang sama ada dari aspek kejiwaan atau kemasyarakatan. Kesan itu bukan saja dirasai oleh orang yang dituduh, malah seluruh anggota keluarganya. Lantaran, Islam melarang perbuatan menuduh tanpa saksi hingga hukuman yang dikenakan ke atasnya hampir sama berat dengan hukuman ke atas orang yang melakukan zina.

Penyebaran perbuatan keji juga laluan yang memudahkan anggota masyarakat terjebak dalam kemaksiatan. Ini kerana sesuatu kemungkaran itu, apabila disebarkan akan cepat merebak dan mendorong anggota lain meniru perbuatan sama. Lantaran, tidak wajar disebarkan secara meluas hanya sekadar untuk dijadikan bahan berita tanpa diiringi usaha bersungguh-sungguh untuk membendungnya.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nuur, ayat 19)

Kesungguhan Islam memerangi kemungkaran, khususnya zina yang menjadi punca runtuhnya institusi keluarga, tercemarnya zuriat dan menimbulkan keresahan masyarakat, dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang beriman.” (Surah an-Nur, ayat 2)

(PENULIS ialah pensyarah bidang syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com Perbincangan dan soal jawab berhubung artikel Wadah Wanita Islam yang lalu boleh dilayari di http://www.blurty.com/users/wanitajim/)

Posted in Tazkirah | No Comments »

Rasulullah ada segalanya

Posted by Admin on May 19, 2008

ALHAMDULILLAH dengan nikmat kehidupan kurniaan Allah bersua lagi kita kali ini untuk hidup berpandukan Rasulullah s.a.w sebagai ikutan.

Selepas iman dan akidah kepada Allah terbina sebagai asas dan tapak, pengukuhan iman seorang Muslim diperteguhkan lagi dengan iman kepada Rasulullah.
Jika beriman kepada Allah penuh yakin dan percaya, beriman dengan Rasulullah ikut apa yang nabi buat dan suruh.

Sebab itulah nabi diutuskan kepada manusia dalam bentuk manusia. Jika malaikat menjadi nabi, susah hendak diikut. Malaikat tidak makan, tidak minum dan tidak berkahwin.

Nabi sebagai manusia perangai kemanusiaannya adalah ikutan kita. Kemanusiaan Rasulullah berlandaskan wahyu Allah.

Semua orang makan, tetapi jika makan mengikut cara nabi akan menjadi ibadat. Begitu juga berkahwin, nabi ajar cara perkahwinan yang betul, malah dalam hiburan nabi mengajar cara berhibur yang betul.

Manusia suka kepada hiburan. Rasulullah mengajar kita cara hiburan yang betul. Pendek kata kedatangan Rasulullah untuk memanusiakan manusia dan hidup berpandukan kehendak Tuhan.

Remaja memang mudah mengikut dan terikut-ikut. Sebab itu remaja yang tiada prinsip mudah dipengaruhi dan terpengaruh. Biasanya remaja mudah terikut kerana ke cantikan atau ketampanan, kehebatan dan mengejar glamor.

Sememangnya Nabi Muhammad s.a.w yang patut diikuti dan disayangi serta dipatuhi sebab pada nabi ada sega la-galanya. Bagindalah paling kacak dan paling hebat.

Cuma kita saja tidak tahu kerana tidak membaca secara mendalam perjalanan sirah Baginda, malah jika membacanya pun hanya sambil lalu saja.

Menurut Napeleon Hill dan Robert T Kayosaki: “Jika kita mahu berjaya kita mesti mengenali orang yang paling berjaya dalam hidup, kita baca biografinya, pelajari perjalanannya menuju ke puncak, kejayaannya,

strateginya dan bagaimana dia menghadapi halangan. Se makin mengidolakan kita kepada seorang yang sukses, kian berminat kita mengikutinya.”

Apa lagi Nabi Muhammad yang berjaya serba-serbi. Bayi yang baru lahir pun sebelum mendengar lagu seperti ‘Ke ranamu’ atau ‘Jalur Gemilang’, mesti terlebih dulu mendengar lagu kejayaan, iaitu ‘azan’.

Dalam intipati azan, pertama yang mesti disembah ialah Allah, kedua ikut dua kalimah syahadah dan ketiga Nabi Muhammad s.a.w dijadikan contoh teladan untuk cemerlang. Berbangga dengan nabi baru boleh ikut.

Nabi Muhammad s.a.w cemerlang dalam pelbagai dimensi. Ada nabi lain tidak sempat menjadi bapa seperti Nabi Isa a.s. Ada nabi yang tidak sempat ada pasukan tentera, ada yang tidak sempat mempunyai negara malah syariat rasul ter dahulu terbatal dengan kedatangan syariat Baginda.

Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-ka nak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat. Kehebatan Nabi Muhammad terserlah.

Dalam semua kitab agama terdahulu terkandung cerita mengenai Nabi Muhammad, dalam Bible, dalam kitab Hindu lama Veda dan Parana, malah dalam kitab Buddha

pun ada tercatat mengenai Baginda.

Pernyataan Michael H Hart dalam bukunya ‘The 100 Ranking of the Most Influential Person in History’ memilih Nabi Muhammad sebagai orang paling berjaya dan ber pengaruh dalam dua bidang, iaitu keagamaan (spiritual) dan keduniaan.

Daripada orang biasa, baginda mengasas dan mengem bangkan satu agama terhebat di dunia dan menjadi pemimpin agama dan politik yang unggul sehingga hari ini, 14 abad selepas kewafatan baginda.

Kehebatan Rasulullah nyata diakui musuhnya sendiri. Jika orang bukan Islam mengakui kehebatan Rasulullah, apatah lagi kita yang mengisytiharkan beriman kepada Rasulullah mahu menjadi umatnya,

lebih-lebih lagi menjadi pengikutnya.

Biar orang lain membaca sejarah, sepatutnya kita yang mencipta sejarah. Kepada remaja, ulangi sejarah cemerlang Nabi Muhammad, jadikannya sebagai contoh ikutan.

Posted in Tazkirah | 1 Comment »

Perlu tahu urus masa

Posted by Admin on May 19, 2008

MASA boleh dikatakan sebagai senjata tajam, amat bermanfaat dan menguntungkan manusia, sekiranya digunakan dengan baik dan betul. Sebaliknya, jika tidak betul atau tidak cermat cara penggunaannya, ketajamannya akan memakan diri.

Bagi sesetengah orang, ia diibaratkan dengan pedang, jika tidak digunakan untuk mencantas, ia akan memotong diri.
Remaja yang tidak tahu memanfaatkan masa akan mewarisi seribu ketinggalan sama ada dalam pelajaran, pemikiran, pergaulan, teknologi, politik dan agama.

Bukan sekadar tertinggal di belakang saja, malah dia berdepan segala keburukan akibat ketajaman masa yang silap penggunaan, akhirnya memotong dan mencantas peribadi manjadi tidak bermoral dengan lepak, menjadi penyamun dengan memeras, membunuh dan segala kerosakan lain.

Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa, bukan sekali dua, malah berpuluh kali sehingga ada satu surah dalam al-Quran yang dipanggil dengan surah al-Asr (Masa).

Bukan itu saja, malah Allah menghantar dua malaikat kepada manusia untuk mencatat segala yang dilakukan individu pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun hingga ke akhir hayat manusia.

Rasulullah memberikan peringatan kepada kita, bagaimana memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.

Masa muda jangan dipersia-siakan kerana ia masa yang penuh dengan kecergasan fizikal dan mental.

Kecergasan ini sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sebab apa yang akan terjadi pada hari tua ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda.

Masa muda tidak bertahan lama dan apabila tiba masa tua keremajaan hanyalah kenangan. Masa tua adalah segalanya, kadangkala tidak indah, tenaga sudah lemah, selera sudah menurun dan dilanda sakit-sakit.

Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas gemilang, manakala remaja yang kecundang menguruskan masa muda akan menjadi warga tua malang. Tidak selesai di dunia saja, malah di akhirat akan dipersoalkan umur remaja, bagaimana dilaluinya?

Kesihatan adalah nikmat sangat berharga. Badan kita adalah milik Allah. Wajib kita menjaga amanah ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke dalam ‘kebinasaan.’

Ramai yang tidak menghargai nikmat ini dan buktinya ramai kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ketagihan rokok dan alkohol serta lumba haram, yang akhirnya membawa kecacatan dan kesengsaraan.

Ingatlah hidup tidak selesai di sini saja. Malah, di akhirat nanti akan ditanya kesihatan kita bagaimana ia digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya? Badan sihat bukan digunakan untuk menyamun, merompak, memeras dan meragut.

Badan saja besar, main bola boleh sampai berjam-jam, tetapi solat beberapa detik tidak larat. Berjaga malam dan berkaraoke sampai pagi mudah saja, tetapi untuk solat Subuh hanya dua rakaat terus lentok. Ingatlah akhirat nanti akan ditanya.

Kekayaan tidak kekal, malah ia boleh bertambah dan hilang musnah sekelip mata. Justeru kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.

Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan dilaknat dan diazab atau pun tidak menjadi Tha’labah yang kaya tetapi subur dengan kebakhilan.

Barang diingat kekayaan adalah alat dan kemudahan untuk mencapai kebaikan atau keburukan. Dengan harta kita menjadi dermawan, dengan harta juga memudahkan kita menjadi tamak wang, dengan harta boleh ke syurga. Ke neraka pun terkadang bermodalkan harta.

Peluang terakhir yang amat penting dan tidak mungkin dicuaikan ialah masa hidup sebelum mati.

Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”

Demikianlah lima kesempatan masa yang mesti dijawab oleh manusia. Menjawab bukan dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan amalan.

Posted in Nasihat, Tazkirah | 1 Comment »

Ramalan bintang

Posted by Admin on May 19, 2008

KEKADANG hairan juga apabila umat Islam lebih percaya kepada tilikan bintang atau horoskop daripada qada dan qadar Allah.

Mereka percaya apa yang diterangkan daripada bintang malah kadangkala taksub dan menganggap apa yang diberitahu itu benar walaupun ia hanyalah kebetulan.
Apakah pandangan Islam terhadap ramalan bintang horoskop?

Ada orang berkata mengapa tidak boleh mempercayai bintang horoskop sedangkan orang dahulu juga mempercayai bintang termasuk menentukan waktu dan arah perjalanan?

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata mempercayai ramalan bintang horoskop adalah haram bahkan sebarang ramalan lain juga adalah haram.

Menurutnya, kepercayaan seperti itu termasuk dalam hukum bertenung nasib yang diharamkan dalam Islam, seperti ditegaskan pada ayat 90, surah al-Maidah.

“Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet.

Perkataan horoskop berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘melihat jam.’ Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui.

Tarikh itu pula akan jatuh pada satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Menurut ilmu astrologi, ramalan nasib berdasarkan bintang, setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu. Ilmu astrologi dahulunya di Barat adalah satu disiplin bersama ilmu astronomi, namun sejak kurun ke-18, ilmu terbabit menjadi dua disiplin berbeza.

Ilmu astrologi adalah ramalan berdasarkan bintang, manakala astronomi ialah bidang kaji bintang dan angkasa raya atau ilmu falak.

Zamihan berkata, ilmu ramalan bintang atau astrologi dan ilmu kaji bintang atau astronomi adalah dua subjek berbeza dan perbezaan ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak nanti timbul kekeliruan.

“Dalam ilmu mengkaji bintang atau disebut juga ilmu falak ia dijadikan sandaran untuk mengenali komposisi kita, contohnya menentukan waktu solat, kita melihat kepada longitud dan latitudnya, apakah sudah waktu Isya atau Subuh.

“Sama juga apabila berlayar di lautan, pelayar akan melihat bintang di langit, berdasarkan kerlipan atau kedudukan bintang memberikan panduan kepada mereka untuk menentukan arah pelayaran dan tiba ke destinasi ditujui,” katanya.

Beliau berkata, ramalan horoskop pula ialah merujuk kepada bintang dan dengan ramalan itu mempercayai dapat memberikan penyebab kepada kehidupan seseorang sama ada kebaikan atau keburukan seseorang.

“Mempercayainya seperti seorang dilahirkan dalam bulan sekian membawa kebaikan atau keburukan adalah jelas haram kerana ia termasuk perkara karut dan khurafat.

“Dalam Islam, melahirkan atau dilahirkan dalam bulan dan hari apa sekalipun tidak memberikan kebaikan atau keburukan, cuma dalam Islam ada dibincangkan keistimewaan hari dan bulan tertentu.

“Tetapi mempercayai tarikh, waktu atau bulan tertentu memberikan kebaikan, keuntungan, kerugian atau keburukan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ini kerana bintang juga adalah makhluk iaitu benda yang diciptakan, sama dengan makhluk yang lain, diciptakan dan yang mencipta ialah Allah.

“Sepatutnya kita kena mempercayai kepada Allah, yang berkuasa atas segala-galanya, bukannya seperti ramalan bintang, hanya terikut-ikut dengan pengaruh orang Barat.

“Kepercayaan kepada horoskop tidak lebih sekadar amalan orang Jahiliyah,” katanya.

Beliau berkata, orang Jahiliyah memang mempercayai benda karut seperti ini, sehingga menjadikan bintang dan matahari sebagai Tuhan sembahan mereka, membuatkan mereka berada dalam kesesatan.

“Orang Islam tidak boleh terpengaruh dengan benda ini, walaupun sedikit kerana ia boleh menjejaskan akidah.

“Kelahiran manusia dan nasib baik atau buruk adalah ketentuan Allah.

“Teori horoskop itu adalah satu tilikan berdasarkan teori falsafah orang Barat dan mereka yang mempercayainya cuma dari sudut perasaan saja.

“Perasaan saja sudah boleh membuatkan orang yang mempercayai berasa ceria atau murung,” katanya.

Posted in Nasihat, Tazkirah | 1 Comment »

Umat Nabi Luth ditelan bumi

Posted by Admin on May 19, 2008

DALAM amalan kontemporari, perkataan ‘gay’ biasanya menggambarkan orientasi seksual seseorang iaitu berkaitan emosi, romantik, seksual atau tarikan kecintaan kepada yang lain.

Terma homoseksual merujuk kepada kelakuan seksual atau tarikan antara manusia sama jenis.
Perkataan ‘gay’ dikatakan berasal daripada bahasa Perancis lama iaitu ‘gai’. Pada peringkat awal, ‘gay’ membawa beberapa pengertian seperti ‘rasa bebas tanpa kerungsingan’, ‘gembira’ atau ‘riang dan suka menunjuk-nunjuk.’

Hari ini, ‘gay’ lebih cenderung membawa maksud hubungan jenis sesama jantina, dipanggil juga homoseksual (liwat), tetapi biasanya ia merujuk kepada lelaki sesama lelaki.

Bukan sedikit mereka yang terbabit dengan aktiviti terbabit, malah di Barat, ia menjadi budaya yang semakin luas pengaruhnya.

Tidakkah ia suatu fenomena yang bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia?

Bagaimana Islam melihat situasi ini?

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata hubungan seksual luar tabie seperti itu adalah haram dan tergolong dalam dosa besar.

“Di zaman kaum Nabi Luth di tengah padang pasir menjadi lautan kerana mereka suka pada lelaki.

“Walaupun ada perempuan, mereka tidak suka, hanya berminat pada lelaki iaitu sama jenis dengan mereka,” katanya.

Di negara ini, kewujudan kaum gay memang ditolak walaupun tiada perangkaan rasmi.

Laporan Harian Metro mengenai ‘gay jamban’ baru-baru ini menunjukkan homoseksual semakin menular di ibu kota terutama di kalangan belia, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, malah pelancong asing.

Lebih teruk apabila mereka tanpa segan dan bersalah turut menjadikan tandas awam di pusat beli-belah sebagai lokasi memadu asmara, bercumbuan atau melakukan hubungan seksual dengan pasangan sejenis.

Tabiat suka kepada pasangan sejenis bermula pada zaman kaum Nabi Luth a.s, apabila mereka tidak cenderung kepada golongan wanita.

Kaumnya lari daripada fitrah. Hidup mereka menentang arus, mengikut nafsu serakah tanpa mempedulikan nilai agama dan kemasyarakatan.

Walaupun Nabi Luth menasihati mereka, ia tidak diterima sedikitpun, sehinggakan tetamu baginda sendiri mahu diusik. Disebabkan itu, mereka ditimpa musibah yang sungguh dahsyat, buminya tenggalam sehingga menjadi lautan.

Kisah ini diceritakan dalam al-Quran melalui beberapa surah, antaranya surah al-Akabuut, an-Naml dan al-Hijr.

“Dan Nabi Luth juga tatkala ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. Bahkan kamu kaum yang jahil.” (an-Naml:54-55)

“Nabi Luth berkata: Di sini ada anak-anak perempuanku, kalau kamu mahu melakukan. Demi umurmu, sesungguhnya mereka membuta-tuli dalam kemabukan maksiat mereka.

“Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-terbalik dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.” (al-Hijr: 71-74)

Nabi Muhammad bersabda, maksudnya: “Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Luth.” (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim)

Mohd Rani berkata, kisah membabitkan kaum Luth itu tidak boleh dipandang ringan, malah perlu diambil ingatan dan pengajaran semua pihak.

“Tetapi sekarang ini orang sudah lupa sejarah kerana kepuasan nafsu semata-mata. Nabi tidak mengaku umat bagi lelaki yang suka kepada lelaki,” katanya.

Beliau berkata, golongan gay tidak boleh dibiarkan, sebaliknya perlu diambil tindakan dengan pendidikan secukupnya.

“Kena tarbiyah dan bagi bimbingan supaya mereka tidak berterusan dalam perbuatan itu. Ajaran agama perlu diberikan secukupnya supaya mereka boleh kembali hidup dan bekerja seperti orang biasa.

“Jangan pula nanti kegiatan itu seperti satu kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan. Mereka perlu diajak dan dibimbing secara khusus,” katanya.

Beliau tidak mempertikaikan kewujudan lelaki lembut dan tidak mempersalahkan mereka kerana perwatakan sedemikian adalah ciptaan Tuhan juga, cuma yang perlu dipastikan ialah tidak terbabit dengan gejala homoseksual.

“Tuhan menjadikan begitu (lembut) tidak boleh menghina mereka. Tidak semua orang lembut melakukan aktiviti macam itu.

“Menjadi masalahnya ialah mereka diperalatkan golongan lelaki bertubuh kasar untuk melepaskan nafsu,” katanya.

Beliau mengajak golongan yang terbabit dengan homoseksual supaya kembali kepada fitrah kemanusiaan dan segera bertaubat kerana dengan taubat, dosa mereka mudah-mudahan diampunkan Allah.

Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, berkata secara fitrah setiap manusia ada rangsangan seksual dan secara normal manusia tertarik kepada jantina berlainan jenis.

“Bagi menjaganya, Islam menganjurkan ikatan perkahwinan. Apabila seorang wanita telah berkahwin, suami mempunyai hak dan tanggungjawab sepenuhnya ke atasnya,” katanya.

Menurutnya, gangguan seksual di luar fitrah adalah tidak normal dan manusia perlu berusaha untuk menjauhinya, malah mengikis perasaan sedemikian.

“Kecenderungan sedemikian adalah suatu penyakit. Ia berupa ketagihan atau kegilaan. Kegilaan dan ketagihan sedemikian hanya boleh dihilangkan apabila hukuman berat dijatuhkan ke atasnya selain manusia sendiri mengubahnya,” katanya.

Posted in Sejarah, Tazkirah | No Comments »

Pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai hukum menonton filem di panggung wayang

Posted by Admin on May 19, 2008

“Tidak syak lagi panggung wayang adalah satu alat dari alat pengarahan dan hiburan.

“Aktiviti setiap alat ini dilihat sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan.”

Beliau berpendapat ia adalah baik, tetapi memerlukan syarat yang dinyatakan ini wujud, iaitu tajuk dan isinya tidak bertentangan dengan aqidah, akhlak dan syariah Islam, malah tiada unsur seks, tidak mengajak kepada jenayah dan ajaran sesat.

“Menonton wayang tidak menghalang seseorang itu melakukan perkara wajib, seperti solat lima waktu. Tidak boleh seseorang itu meninggalkan solat wajib, contohnya Maghrib semata-mata untuk menonton wayang. Al-Quran memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling daripada mengingati Allah.

“Elakkan daripada bergaul di antara lelaki dan perempuan ajnabi (orang luar), elak dari fitnah dan juga syubhat, lebih-lebih lagi menonton dalam keadaan gelap.” -

Posted in Tazkirah | No Comments »

Strategi syaitan profesional

Posted by Admin on May 19, 2008

SYAITAN ialah musuh sejati, bukannya teman sejati. Ia tidak boleh dibuat kawan, sebaliknya kena dibuat lawan.

Jika hendak bermusuh dengan syaitan, kita mesti mengetahui teknik serta sepak terajang syaitan dan konconya yang begitu taktikal, sebab tugas mereka sangat profesional menggoda dan menyesatkan manusia.
Pertemuan kali ini kita ingin melihat strategi syaitan dengan pelbagai cara supaya dengan mengetahuinya kita boleh menghindari diri dan terhindar daripada godaan mereka.

Antara strategi syaitan ialah:

1. Suka orang berada dalam keraguan. Ketika anda menghadapi masalah dan ragu-ragu untuk membuat keputusan, pada saat kebimbangan itulah syaitan mengganggu dan menggoda, mengarah anda untuk memilih itu dan membuat ini.

Sudah tentu pilihan syaitan itu ke arah keburukan, jauh dari kebaikan. Malah, jika pilihan baik sekalipun, mereka akan mengalih orientasi dan matlamat supaya berakhir dengan keburukan.

Antaranya, melakukan sesuatu bukan kerana Allah, sebaliknya untuk mengejar glamor dan pangkat. Oleh kerana bimbang gangguan syaitan ini, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tinggalkan yang meragukan, ambillah yang meyakinkan.”

Ini dikatakan ‘believe system’ (sistem keyakinan diri). Apabila ada keyakinan, hilang keraguan dan apabila hilang keraguan tertutup peluang syaitan untuk menggoda manusia.

Sebab itu prinsip Islam bermula dengan keyakinan, yang bernama iman iaitu beriman kepada perkara ghaib, dosa pahala, hari akhirat dan sebagainya. Tetapi apabila rosak iman, rosaklah segala-galanya.

2. Syaitan suka orang kuat ibadat tetapi tidak ada ilmu. Beribadat dan beramal mesti berasaskan ilmu sebagai imam, manakala amal sebagai makmum untuk menewaskan syaitan.

Keinginan untuk belajar tidak boleh berhenti. Sesiapa yang berasa cukup dengan ilmu yang sudah ada atau sudah rasa pandai sebenarnya dia sedang memberikan peluang dan ruang kepada syaitan menguasai dirinya.

Islam bermusuh dengan kebodohan. Sebab itu ayat pertama diturunkan pada Nabi s.a.w dalam surah al-’Alaq ialah menyuruh nabi membaca. “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”

Suruhan itu bukan sekadar membaca buku dan kitab tetapi membaca fakta, data dan tanda kebesaran Allah di dalam al-Quran.

Dengan membaca bererti semakin banyak kita membuka jendela ilmu serta semakin sempitlah peluang syaitan untuk melakukan tipu daya dan mengelecek manusia.

3. Syaitan menyesatkan orang yang tidak ikhlas, sebab itulah ibadat mesti dengan ikhlas, cari ilmu dengan ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, malah berjuang dengan ikhlas. Ikhlas bermakna melakukan sesuatu kerana Allah dan berasa bersama dengan Allah.

4. Syaitan sangat suka orang sombong diri, sebaliknya syaitan akan menjauhkan diri daripada orang merendah diri.

Islam menggesa umatnya menjadi orang terunggul dan terhebat, tetapi jangan sampai menjadi seperti Firaun dan Namrud yang sanggup melawan ‘Taukeh’ (Tuhan).

Kesimpulannya kata kunci untuk melawan syaitan dengan empat huruf, iaitu ‘BEST’. B merujuk kepada ‘believe in Allah’ (beriman kepada Allah), E ialah ‘Eager to learn’ (gigih untuk belajar sampai mati), S ialah ’sincerity’ (melakukan kerja dengan ikhlas) dan T ialah ‘towards excellence’ (menggapai keunggulan).

Cuma satu hal, apabila sudah berjaya jangan sombong diri, nanti makan diri.

Posted in Tazkirah | No Comments »

LUQMAN AL-HAKIM

Posted by Admin on May 19, 2008

LUQMAN al-Hakim adalah seorang tokoh yang menjadi sebutan masyarakat Islam hingga kini, lebih-lebih lagi apabila menyentuh mengenai mutiara kata dan ungkapan yang baik lagi terpuji.

Kebenaran mengenai kewujudannya suatu masa dulu di perakui al-Quran apabila kitab suci itu sendiri merakamkan nama beliau dan nasihat bermanfaat daripadanya seperti yang dapat diperhatikan melalui surah Luqman.
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulanglah kepada dirinya dan sesiapa yang ingkar dan tidak bersyukur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Luqman:12)

Al-Quran menceritakan secara umum personaliti Luqman seperti juga tokoh lain daripada kalangan nabi dan orang beriman.

Justeru, timbul sedikit perselisihan di kalangan ulama dan pengkaji mengenai latar belakang, kehidupan dan ketu runannya.

Malah, nama Luqman itu sendiri dikatakan adalah nama orang Ajam (orang asing), bukannya nama orang Arab.

Ibnu Kathir ada menyatakan dalam kitab sejarahnya: ‘Beliau ialah Luqman bin Unqaa’ bin Sadam.’

Tetapi, ada cerita dari as-Suhaili, dari Ibnu Jarir dan al-Qutaibi: ‘Beliau ialah Luqman bin Tharan.’ Gelarannya Abu An’am.

Al-Allamah al-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat me ngatakan beliau hidup di zaman Nabi Daud a.s.”

Katanya lagi: “Orang juga berselisih pendapat apakah beliau seorang yang merdeka atau hamba? Kebanyakan pihak mengatakan beliau adalah seorang hamba Habsyi.”

Ibnu Qutaibah berkata: “Luqman adalah seorang hamba Habsyi kepada seorang lelaki daripada kalangan Bani Israil. Kemudian beliau dibebaskan dan diberikan harta.”

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Adakah engkau semua tahu siapakah dia Luqman? Mereka pun menjawab: Allah dan Rasul-Nya saja yang lebih tahu. Baginda bersabda: Dia adalah seorang Habsyi.”

Pendapat yang mengatakan dia adalah seorang Habsyi adalah dari Ibnu Abbas dan Mujahid.

Al-Hassan al-Basri berkata: “Luqman membina sebuah singgahsana di Ramlah, Syam. Pada masa itu tempat terbabit masih lagi belum dibangunkan. Beliau berada di sana se hinggalah lanjut usianya dan meninggal dunia.”

Ibrahim bin Adham berkata: “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara Masjid Ar-Ramlah dan tempat didirikan pasar pada hari ini. Di tempat terbabit terdapat 70 kubur nabi .”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim, dari Abdullah bin Az-Zubair katanya: “Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu semua mengenai keadaan diri Luqman? Jabir menjawab: Dia adalah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari keturunan Naubah.”

Menurut Ibnu Kathir, Luqman adalah seorang lelaki yang soleh, kuat beribadat dan suka memberikan nasihat serta mempunyai kebijaksanaan yang amat tinggi.

Katanya lagi, Luqman adalah seorang hamba yang banyak berfikir dan mempunyai imaginasi yang baik, malah me ngasihi Allah sehingga Allah mengasihinya.

“Beliau juga dianugerahkan dengan kebijaksanaan iaitu lidahnya menuturkan kata-kata yang hak, hatinya berfikir perkara baik sementara badannya bergerak dengan baik.

“Sekiranya beliau berbicara, bicaranya penuh bijaksana dan sekiranya beliau berfikir, pemikirannya penuh bijaksana dan sekiranya beliau bergerak, pergerakannya penuh bijaksana,” katanya.

Luqman adalah orang pertama yang dipengaruhi dengan hikmah serta beramal dengannya. Oleh kerana itu beliau sentiasa berfikir.

Beliau adalah seorang yang bijaksana, bersifat zuhud di dunia, tidak mengendahkannya dan tidak memandang ke padanya.

Dikatakan, sesungguhnya rumah Luqman adalah sebu ruk-buruk rumah dan lebih daif dari sarang labah-labah. Suatu ketika beliau pernah ditanyakan mengenai keadaan terbabit lalu katanya: “Ini sudah cukup banyak bagi orang yang akan mati.”

Luqman melalui pelbagai peristiwa dalam kehidupannya, antaranya seperti diceritakan, suatu hari beliau masuk ber temu Nabi Daud a.s yang sedang membakar baju besi, lalu beliau ingin bertanya kepadanya namun Nabi Daud men diamkan diri.

Apabila Nabi Daud menyelesaikan baju besi terbabit dan siap untuk dipakainya, baginda berkata: “Engkaulah pemakai baju perang yang paling baik.”

Luqman pun berkata: “Berdiam diri itu adalah hikmah (kebijaksanaan), tetapi amat sedikit orang yang melaku kannya.”

Beliau suka duduk lama bersendirian. Pada suatu hari tuannya lalu di hadapannya lalu berkata: “Wahai Luqman, sesungguhnya engkau ini sering kali duduk lama bersen dirian. Sekiranya engkau duduk dengan manusia ternyata ia lebih baik buatmu.”

Dijawab Luqman: “Bahawa duduk bersendirian itu aku dapat memahami bagaimana untuk berfikir. Sementara lama berfikir penunjuk jalan ke syurga.”

Ibnu Kathir menegaskan ulama salaf berselisih pendapat mengenai diri Luqman, sama ada dia seorang nabi atau seorang hamba yang soleh tanpa taraf kenabian?

Antara dua pendapat ini kebanyakan mereka berpegang dengan pendapat kedua.

Dipetik dari Ibnu Abbas katanya: “Luqman bukanlah se orang nabi mahu pun raja, tetapi beliau seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Allah memerdekakannya dan sesungguhnya Dia reda dengan segala kata-kata dan wasiat Luqman…”

Mengenai sifat hikmahnya, Luqman al-Hakim pernah di tanya, lalu beliau menjawab: “Aku tidak meminta sesuatu yang sudah aku cukupi (ada) dan aku tidak melampau-lam pau dalam sesuatu yang tidak berkenaan dengan diriku.”

Beiau juga pernah ditanya, dari siapa mempelajari kata-kata hikmah itu, lalu katanya: “Dari orang yang jahil dan bodoh. Setiap kali aku melihat suatu keaiban di kalangan mereka, aku berusaha keras untuk menjauhinya.”

Dalam satu dialog dengan anaknya, beliau ditanya: “Wahai bapaku sifat manakah yang ada dalam diri manusia yang paling baik?”

Luqman menjawab: Agama.

Anaknya bertanya: Sekiranya ada dua?

Luqman: Agama dan harta.

Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada tiga?

Luqman: Agama, harta dan sifat malu.

Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada empat?

Luqman: Agama, harta, sifat malu dan akhlak yang baik.

Anak bertanya lagi: Sekiranya ada lima?

Luqman: Agama, harta, sifat malu, akhlak yang baik dan sifat pemurah.

Anaknya bertanya lagi: Sekiranya ada enam?

Luqman: Wahai anakku, sekiranya lima sifat ini terkumpul dalam diri manusia, dialah seorang yang bersih lagi bertakwa. Dia hanya bertuankan kepada Allah dan menjauhkan diri dari syaitan.

Posted in Sejarah, Tazkirah | No Comments »