..::Sahabat Nasihat::..

..::Mari Muhasabah Diri::..

  • ::Mutiara Kata::

    ~~Menangisi perpisahan akibat gagal bercinta adalah satu pembaziran mutiara jernih kita dan juga menguji sejauh mana kebodohan kita tetapi dengan menangisi dan menyesali akan dosa kita lantas meminta pengampunan dariNya akan lebih menjamin dunia dan akhirat.~~
  • Perkataan yang lemah lembut itu melembutkan hati yang lebih keras dari batu batu dan perkataan yang kasar akan mengasarkan hati yang lebih halus dari sutera
  • Kategori

  • Tag

  • ::Takwim::

  • Calendar

    April 2008
    S M T W T F S
    « Mar   May »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • Archives

  • ::Recent Posts::

  • ::Recent Comments::

    nour on Ujian Melanda
    joyah on Couple – Haram Tetap…
    Admin on Couple – Haram Tetap…
    fariza on Couple – Haram Tetap…
    poiuytrewq on Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadh…
  • Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 5 other followers

  • ::Contact Me::

Hadis Palsu

Posted by TanpaSuara on April 3, 2008


—–Original Message—– From: Shamsul Kamal [mailto: skamal@xybase.com] Sent: Tuesday, March 18, 2003 1:19 AM Subject: [Sutera] Doktor, Islam & Logik Importance: High

Maasyiral Muslimin wa zumratal mukminin rahimakumullah

Assalammualaikum wbk.

Terlebih dahulu izinkan saya panjatkan rasa syukur dan puji-pujian ke hadrat Allah swt. di atas restu dan izinNya yang mengatur dan memberi kekuatan untuk terus menyumbang dan bersama-sama para sahabat yang dirahmati. Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ibni Abdullah saw., kepada para ahli keluarganya dan para sahabat baginda, para tabi’in dan tabi’ attabi’in serta seluruh muslimin dan muslimat yang dirahmati dan dikasihi Allah swt. Kepada semua penggerak wadah egroups tercinta, saya doakan agar kalian terus-terusan mendapat panduan, kerahmatan dan bantuan dari Allah swt. Tidak lupa juga salam kerberkatan untuk semua sahabat yang lain yang mencintai akan kebenaran dan memperjuangkan akan keadilan. Dan kepada sahabat yang bukan beragama Islam, salam ceria dan sejahtera diucapkan.

Dengan izin moderator budiman. Saya merujuk kepada email saudari Fatin yang bertajuk Doktor, Islam & Logik, bertarikh Rabu, 12 Mar 2003. Sebelum itu saya dengan rasa rendah diri mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudari Fatin yang sudi menyebar ilmu pengetahuan buat sahabat-sahabat yang lain. Dari tidak tahu menjadi tahu.

Cuma izinkan saya yang masih belajar dan cukup lemah ini; dhaif, menyentuh sedikit beberapa keterangan saudari Fatin yang pada saya tersasar, lemah dan tidak disandarkan mana-mana sanad riwayat. Saya bukannya penentang buta (antagonise; counteract) yang mana sikit-sikit nak lawan, sikit-sikit nak bangkang (protests; dissent; resist) email orang lain.

Sejujurnya, tujuan saya bukan melekeh saudari Fatin ataupun mana-mana pihak, cuma memperbetulkan apa yang tidak betul agar kita semua tidak dipermainkan dan diperbudakkan oleh mana-mana pihak yang memang jumud pada perkembangan agama, pihak yang anti agama, yang hasad kepada agama, pihak yang anti hadis dan yang sewaktu dengannya.

Nota: Saya tidak menembak sesiapa. Cuma saya sedar kebelakangan ini, ada tiga empat orang (persona non grata; unwelcome person) di dalam egroups ini yang cuba melaga-lagakan sahabat-sahabat yang lain, yang cuba memesongkan akidah, meletakkan kita di dalam situasi serba salah; ikut Al-Quran sahaja atau cuma berpandukan Hadis; boleh makan anjing; halal atau haram?, sendiri bentang soalan, diri sendiri yang menjawab sambil melekeh orang lain. Sudahnya kita juga yang rugi dan ditertawakan oleh manusia durjana lagi hina ini jika terus-terusan terperangkap di dalam jaringan fata morgana mereka.

Kali ini saya cuba merujuk kepada Kitab Ihya Ulumiddin – hasilan karya Imam Al-Ghazali atau nama sebenarnya Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ta’us Ahmad al-Tusi al-Shafi’I Al-Ghazali.

Nota: Imam Al-Ghazali turut digelar “Hujjatul Islam” yang bermaksud penghafal (hafiz) 100,000 buah hadis Muhammad ibni Abdullah saw. dan perawinya sekali. Diriwayatkan lagi, hanya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali sahaja yang mampu menghafal 100,000 hadis sahih Muhammad ibni Abdullah saw. beserta keseluruhan perawinya. Wallahualam

Seperti biasa, saya MINTA SAHABAT-SAHABAT PERBETULKAN DAN TEGURLAH SAYA DENGAN PENUH HIKMAH ANDAIKATA KETERANGAN SAYA INI TERSASAR DARI MANA-MANA SAHIH.

Baiklah, saya terus kepada kenyataan pertama. Saudari Fatin ada menyebut cara pemakanan Muhammad ibni Abdullah saw. yang menggaulkan LAUK dan NASI dengan tangan kanan Muhammad ibni Abdullah saw. dan kemudian membiarkan sebentar.

Nah, di sini sudah jelas kesalahan yang pertama iaitu NASI dan LAUK. Saya belum jumpa mana-mana sanad riwayat yang menyebut Baginda Muhammad ibni Abdullah saw. makan nasi beserta lauk ataupun sanad riwayat yang berkisah masyarakat Arab sebelum dan sesudah kedatangan Muhammad ibni Abdullah saw. memakan nasi dan lauk. Beras (nasi) tidak ditanam di mana-mana NEGARA ARAB.

Kerana di dalam Kitab Ihya Ulumiddin karya Imam Al-Ghazali hanya menyebut Muhammad ibni Abdullah saw. memakan dan menggemari:

1. kuih faludzaj yang diperbuat daripada minyak samin, madu lebah dan tepung gandum
2. roti syair, mentimun dan ruthaab (kurma basah; kurma yang belum kering) yang di cicah dengan garam (bukan nasi + lauk + garam)
3. menyukai roti dengan minyak samin
4. anggur dan semangka yang dimakan bersama roti dan gula atau ruthab
5. memakan anggur dengan memegang tangkainya sehingga air anggur kelihatan pada janggutnya seperti benang mutiara
6. menyukai susu dengan tamar (al-athyabin yakni dua yang terbaik)
7. memakan daging yakni penghulu makanan di dunia dan di akhirat yang mana khasiat nya menguatkan dan menajamkan pendengaran
8. menggemari daging kambing pada bahagian lengan dan bahu
9. roti bekuah dengan daging dan buah labu. Muhammad ibni Abdullah saw. pernah menyebut bahawa labu itu adalah pohon Nabi Allah Yunus as. Sila sahabat rujuk kepada Surah As-Saaffaat ayat 139-148 (kisah di mana sewaktu Nabi Yunus as. dicampakkan keluar dari perut ikan ke tanah yang tandus (di tepi pantai). Kemudian Nabi Yunus as. sakit tenat dan lapar, maka Allah swt. tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok
(labu) yang berdaun lebar). Muhammad ibni Abdullah saw. turut menyarankan Aisyah ra. memasak makanan dengan membanyakkan labu yang khasiatnya akan menguatkan hati orang yang berduka
10. menyukai daging burung (tetapi Muhammad ibni Abdullah saw. tidak pula ikut menangkap burung berkenaan)
11. kurma Madinah (al-ajwah yang berasal dari Syurga), penawar racun dan sihir. Kurma jenis ini yang paling digemari oleh Muhammad ibni Abdullah saw.
12. sayur-sayuran yang digemari Muhammad ibni Abdullah saw. ialah al-handaba, al-badzaruj dan al-hamqa’/ar-rajlah
13. tidak makan bahagian daging seperti buah pinggang, zakar dan biji zakar, ghudad, darah, hempedu dan beberapa bahagian dalaman yang lain
14. tidak menggemari bawang putih, bawang merah dan daun bawang prei (al-kurrats)

Kenyataan kedua saudari Fatin menyebut “….. lalu Muhammad ibni Abdullah saw. akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya; yang terakhir, lalu Muhammad ibni Abdullah saw. akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Muhammad ibni Abdullah saw. makan nasi dan lauknya. Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan tiga macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yang kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion…..”

Maafkan saya sekali lagi. Saya juga belum berjumpa mana-mana sanad riwayat mahupun adab-adab makan Nabi Allah Muhammad saw. dengan cara sedemikian (mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya; yang terakhir, lalu Muhammad ibni Abdullah saw. akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Muhammad ibni Abdullah saw. makan nasi dan lauknya). Muhammad ibni Abdullah saw. akan menghisap atau mejilat sisa makanan pada anak jari Muhammad ibni Abdullah saw. HANYA SETELAH Muhammad ibni Abdullah saw. selesai menghadapi hidangan. Hikmahnya adalah tidak diketahui makanan mana yang paling diberkati (yang melekat di jari Muhammad ibni Abdullah saw. itu tadi). Dan yang paling penting, menghisap atau memakan dengan menggunakan satu dua anak jari sahaja bukan cara Muhammad ibni Abdullah saw. kerana memakan dengan cara tersebut (satu dua anak jari) adalah cara makan syaitan laknatullah.

Yang ketiga saudari Fatin menyebut “….. mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yang diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dengan satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yang paling berkhasiat untuk kita. Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalahpenawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr., di hospital-hospital, the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia…..”

Yang ini saya sokong kerana memang terdapat banyak khasiat garam dari sudut perubatan moden dan tradisional. Selain penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran, garam juga merupakan satu kepantangan bagi pengamal sihir, penawar bagi racun haiwan berbisa dan sebagainya (kalau ada masa dan waktu, saya akan bercerita tentang garam pula. Tapi tak janji ya, saya sibuk sekarang ini)

Keempat saudari Fatin menyebut “….. cara Muhammad ibni Abdullah saw. mengunyah. Muhammad ibni Abdullah saw. akan MENGUYAH sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar PERUT KITA senang memproseskan makanan itu…..”

Saya tidak tahu mana silapnya, prosa, kata kerja atau pun susunan ayat. Muhammad ibni Abdullah saw. yang menguyah TETAPI PERUT KITA yang senang nak proses makanan. Dan juga, saya tidak ketemui mana-mana sanad riwayat yang menyebut Muhammad ibni Abdullah saw. mengunyah sehingga 40 kali dahulu kemudian baru menelan makanan tadi.

Saya cuba pratikkan tadi. Mak aii, payah dan lenguh mulut ini nak menguyah 40 kali. Sebab apa? Saya suap mengikut kuantiti yang biasa
(kadar tangan saya), belum sampai 10 kali kunyah, makanan tersebut sudah pun hancur dimamah. Agaknya saya kena masukkan makanan ke dalam mulut saya dalam kuantiti yang besar; penuh mulut baru boleh cukup 40 kali kunyah; sunah konon. Tak kan Muhammad ibni Abdullah saw. makan sampai penuh mulut kemudian baru boleh kunyah 40 kali?

Kalau ada pun sanad riwayat, cuma menyebut apabila Muhammad ibni Abdullah saw. menghadapi sesuatu hidangan, Muhammad ibni Abdullah saw. akan menguyah secara perlahan-lahan dengan mulut terkatup rapat. Bukan menganga macam sesetengah daripada kita.

Kelima saudari Fatin menyebut “….. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim). Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu…..”

Masyaallah! Terkejut saya. Saya cuba belek-belek kitab tafsir Al-Quran dan kitab tafsir Hadis, mana tahu saya jika saya ketemui perjanjian kalimah Allah Bismillah dengan Tuannya (Allah swt.). TIDAK ADA PULA!

Tahukah moral di sebalik kenyataan songsang kononnya membaca Bismillah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit? Ini bertujuan tidak lain hanya mahu membuatkan masyarakat ISLAM menjadi umat yang PENGOTOR. YA, PENGOTOR.

Kerana apa? Kalau macam itu tidak perlulah kita (umat Islam) menjaga dan menuruti adab-adab sebelum makan anjuran Islam dan Muhammad ibni Abdullah saw. Terus sahaja makan TANPA MENCUCI TANGAN DAN TANPA MENJAGA KEBERSIHAN DIRI sebab bakteria dan racun di dalam makanan itu tadi sudah mati dan musnah dek kerana baca Bismillah sahaja (konsep tawakal yang tidak kena tempat dan cara; dangkal lagi tersasar). Kepada PENULIS ASAL artikel Doktor, Islam & Logik (saya tidak menyalahkan saudari Fatin dan tidak percaya saudari Fatin yang menulisnya) dan penyebar syiar sesat ini, silalah menjamu selera TANPA MEMBERSIHKAN DIRI SETELAH MASUK TANDAS, PEGANG SAMPAH ATAU APA-APA JUA BENDA KOTOR YANG BERKUMAN. Baca sahaja Bismillah, terus kuman dan bakteria tersebut mati. CAYALAH SAMA DENGAN SYIAR KORANG NI!!! BEST BETUL LA!!!

Kita sebagai umat Islam yang TERUTAMA, kenalah banyak berfikir. Berbuih dan jenuh saya menulis mengingatkan jangan TERIMA DAN HADAM SAHAJA artikel-artikel yang kita sendiri tidak pasti kesahihannya. Saya TIDAK PERNAH pertikaikan karamah dan keberkatan Al-Quranul Karim, Kalamullah
(kata-kata Allah swt.) eg. ayat Bismillah ini tetapi fikirkanlah sendiri. Jika sekadar membaca Bismillah tanpa menjaga kebersihan yang dituntut umat Islam, maka tidak akan adalah kelihatan dan kedengaran orang yang kena cirit-birit, barah perut ke, keracunan makanan dan yang sewaktu dengannya. FIKIR!

Dan LAGI SATU, Muhammad ibni Abdullah saw., tidak sekadar membaca Bismillah tetapi siap dengan doa makan yang lengkap (tidak perlu rasanya saya sisipkan doa makan kerana saya berandaian sahabat semua telah tahu dan telah maklum).

Akhir sekali sebelum saya lupa, Muhammad ibni Abdullah saw. tidak mengemari memakan makanan yang SANGAT panas kerana tiada barakahnya dan diibaratkan seperti memakan api.

Mata pun layu sesangat. Kerja dari pagi tadi (08:30 AM) sehingga jam sekarang sudah pun menunjukkan 01:15 pagi. Kena balik nanti anak isteri bising pula esoknya.

Akhir kalam, saya tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba memesongkan syiar Islam yang sebenar, mempermainkan aqidah orang Islam dan juga memperlekehkan orang lain dengan MEMPERGUNAKAN AL-QURAN! Kalau suka dosa dan teingin sangat nak sebaris dengan Qarun, Firaun, Haman mahupun Namrud, teruskanlah. Mungkin anda (perosak agama) menang di dunia ini TETAPI akhirat belum tentu beb!

Jazakalahu khairan katsira

Wassalammualaikum wbk.

Shamsul Kamal bin Main
01:19 AM

Subject: [saujanaku] Doktor, Islam & Logik Date: Wed, 12 Mar 2003 12:27:17 +0800 From: “Fatin”<saujanaku@yahoogroups.com

guna id Fatin sahaja…..

from my friend.

Doctor, Islam dan Logik

Doktor memulakan syarahannya dengan membawa para hadirin memikirkan sejenak dengan hadith yang maknanya sedikit sebanyak “Dalam diri-diri kamu ada kebesaran Tuhan”. Doktor menyuruh kita melihat kedua tapak tangan dan perhatikan garis-garis di tapak tangan kita. Garisan-garisan di tangan kiri menunjukkan angka 8 dan 1 dalam Bahasa Arab dan tangan kanan 1 dan 8 dan membawa ke jumlah 81 + 18 ==== 99 iaitu bilangan nama Allah.

Berikut adalah antara intipati syarahannya secara ringkas:-

1. Cara makan, kenapa kita gunakan tangan? Mengikut cara Rasulullah s. a. w, beliau akan menggaulkan lauk dan nasi dengan tangan kanannya dan kemudian membiarkan sebentar, lalu Rasullah saw akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya(yg last tu), lalu Rasullah saw akan menghisap garam itu. Kemudian barulah Rasulullah makan nasi dan lauknya.

Mengapa? Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yg kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan the first process of digestion.

Mengapa menghisap garam? Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dgn satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalahpenawar yang paling mujarab bagi keracunan, mengikut Dr, dihospital-hospital, the first line of treatment for poisoning adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM.

Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin menggangu manusia.

2. Cara Rasulullah mengunyah – Rasulullah akan mengunyah sebanyak 40 kali untuk membiarkan makanan itu betul-betul lumat agar perut kita senang memproseskan makanan itu.

3. Membaca Basmalah (Bismillahirrahma Nirrahim). Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.

Cara Rasulullah minum. Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgnairH20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic. Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas.

Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.

Mengapa Islam menyuruh di sebat 100 kali orang belum berkahwin yang berzina, dan merejam sehingga mati org yg sudah berkahwin yang berzina? Badan manusia akan mengeluarkan sel-sel darah putih atau antibiotik yg dapat melawan penyakit. Dan sel-sel ini terdapat di daerah tulang belakang, berdekatan dengan sum-sum tulang manusia. Lelaki yang belum berkahwin dia akan dapat mengeluarkan beribu-ribu sel ini, manakala lelaki yang sudah berkahwin hanya dapat menghasilkan 10 unit sel ini sehari, kerana antara sebabnya ialah kerana sel-sel lain akan hilang kerana perhubungan suami isteri. Jadi apabila lelaki yang belum berkahwin didapati salah kerana zina hendaklah disebat 100 kali. Ini adalah kerana apabila dia disebat di belakangnya, suatu amaran tentang kesakitan itu akan membuatkan penghasilan beribu sel antibiotik yangdapatmelawan virus HIV jika ia ada di badannya, dengan itu dapatlah antibodi melawan virus HIV itu. Tetapi jika lelaki itu sudah berkahwin, walaupun disebat 100 kali ia akan tetap menghasilkan 10 unit antibody sahaja, jadi dengan itu hukumannya direjam hingga mati agar dia tidak dapatmerebakkan virus HIV itu.

Itulah sedikit sebanyak inti syarahan yg disampaikan oleh Dr Jamnul Azhar. Harap ia akan memberi manfaat pada anda sekalian, dan sedikit informasi yang diberikan oleh Mudarisana, Mudaris Iskandar mengenai Ka’bah.

Mengapa ia terletak di Mekah al- Mukarramah dan mengapa ia empatpersegi
(cube). Ia terletak di posisinya sekarang kerana setelah dibuat kajian oleh para cendikiawan dari Pakistan dan Arab, didapati, tempat terletaknya Ka’bah sekarang itu, adalah betul-betul di tengah bumi.

Mengapa ia empat persegi, ia melambangkan perpaduan ummah yang bergerak maju bersama, equality and unity, tidak seperti bentuk pyramid, dimana ia diumpamakan, seperti hanya seorang pemenang yg berada diatas setelah ia memijak-mijak yang lain. Dan antara lagi sebab mengapa 4 persegi melambangkan 4 imam besar, Maliki, Hambali, Hanafi dan Syafi’i, melambangkan kebenaran keempat-empat Imam tersebut. Sekian buat renungan bersama, Fi amanillah Jazakallah Khairan Kathiran

TOLONG SEBARKAN DAN JADIKAN AMALAN BERGUNA..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: