Oleh Noor Haliza Ali
(Panel Penulis Jakim) -BH 8 Januari 2007
PEMILIHAN makanan perlu diambil perhatian kerana pada zaman ini umat Islam terdedah dengan pelbagai jenis makanan yang dihasilkan pengusaha bukan Islam. Memandangkan kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan hab halal, peluang ini adalah cara terbaik untuk kita memilih makanan yang benar-benar halal, baik dan berkhasiat.
Ini sejajar seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168, bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak syaitan”
Makanan haram akan menjejaskan ibadat kita kepada Allah SWT kerana setiap kali kita berhadapan dengan Allah SWT ketika menunaikan solat, kita hendaklah berada dalam keadaan bersih dan suci.
Pada masa sama, ada ketikanya kita terlupa mengenai apa yang kita makan.
Bagaimanakah penerimaan Allah SWT terhadap ibadat serta doa kita sekiranya kita tidak menjaga pemakanan kita?
Kesucian batin amat dititikberatkan oleh Islam kerana ia memudahkan seseorang itu untuk mendapat petunjuk serta membentuk peribadi mulia sebagai seorang Muslim.